Berita Utama

PKS kesal tiada peruntukan khusus Bajet 2022 cegah kemalangan jalan raya

Tiada kemahuan politik untuk selamatkan nyawa ribuan rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PKS) meluahkan rasa kecewa berikutan kekurangan peruntukan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dalam Bajet 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tiada peruntukan bajet khusus untuk menangani ancaman akibat kematian yang semakin meningkat membabitkan penunggang motosikal.

Beliau berkata, walaupun berbilion ringgit telah diperuntukkan untuk perkara lain, tiada yang dikhaskan untuk melaksanakan projek keselamatan jalan raya walaupun kematian jalan raya telah menjadi salah satu punca kehilangan nyawa terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, Perikatan sudah mengemukakan cadangan dan senarai kemahuan untuk Bajet 2022 kepada Menteri Kewangan yang menekankan keperluan untuk laluan motosikal khusus di sepanjang jalan dan lebuh raya sedia ada, katanya.

“Tiada kemahuan politik sama sekali untuk memberikan peruntukan kewangan untuk menyediakan laluan motosikal sedemikian yang jika dilaksanakan, boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa, kebanyakannya anak muda Malaysia.

“Ini disahkan bukan sahaja berdasarkan penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) tetapi juga berdasarkan akal fikiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye menegaskan bahawa lorong motosikal khusus adalah penting untuk mengasingkan motorsikal daripada lorong laju di mana mereka paling terdedah kepada kemalangan.

Beliau berkata, berikutan ketiadaan lorong eksklusif motosikal, kebanyakan kemalangan maut serta kecederaan parah membabitkan penunggang motosikal berlaku akibat menunggang bersama kenderaan lain di laluan laju.

Beliau juga menegaskan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini menggesa Malaysia menangani isu keselamatan jalan raya memandangkan negara itu menyumbang kadar kematian ketiga tertinggi di Wilayah Pasifik Barat.

Katanya, kecederaan lalu lintas jalan raya menyumbang 14 peratus kematian dalam kalangan kanak-kanak berumur antara lima hingga 14 tahun, menjadikannya punca utama kematian kanak-kanak di negara ini.

Angka rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menunjukkan sebanyak 167,074 nyawa terkorban bagi semua jenis pengguna jalan raya dari 1995 hingga Ogos tahun ini, atau purata 18 kematian sehari dalam tempoh itu, katanya.

“Antara 2001 hingga Ogos 2021, sejumlah 79,916 penunggang motosikal terkorban di Malaysia dan ini sahaja yang sepatutnya menusuk hati nurani semua orang bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk membendung kematian yang tidak patut itu.

“Tujuh daripada 10 kematian jalan raya adalah pengguna motosikal, menjadikan Malaysia hampir memintas Thailand untuk kadar kematian terburuk di dunia bagi penunggang motosikal.

“Dengan peningkatan populariti perkhidmatan penghantaran makanan melalui motosikal, angka kematian pasti akan meningkat sehingga kerajaan dan pemimpin politik menerima realiti sebenar bahawa kematian sedemikian yang boleh dicegah sebenarnya mempunyai kesan sosial dan ekonomi yang besar kepada negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencadangkan RM332.1 bilion untuk Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen bulan lepas.

Bahagian terbesar bajet diperuntukkan untuk sektor kesihatan dan pendidikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button