Berita Utama

Mat Kilau permulaan, Studio Kembara akan angkat sejarah gemilang bangsa Melayu

Syarikat anak Melayu berjaya cipta rekod terbaik

BANGI, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Datuk Mohd Rosli Ramli sekali lagi menjelaskan, pengundurannya di Studio Kembara bagi memfokuskan sepenuhnya kepada perjuangan politik orang Melayu dan Islam.

Beliau adalah antara calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen P125 Putrajaya mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). 

Beliau berdepan persaingan enam penjuru dengan penyandang kerusi selama empat penggal, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Barisan Nasional), Datuk Dr. Radzi Jidin (Perikatan Nasional), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan), Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) dan Lim Fice Bee (Bebas).

Serentak itu, Mohd Rosli memberikan ucapan terima kasih atas kepercayaan tinggi Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali dan seluruh pasukan kepadanya untuk memikul tanggungjawab besar ini.

“Saya gembira apabila syarikat anak Melayu ini berjaya mencipta rekod terbaik dalam sejarah industri perfileman negara dari segi kutipan dan mesej sejarah tanah air kita.

“Saya yakin dan percaya, Studio Kembara bakal menjadi pelopor industri hiburan seni yang akan mengangkat kembali sejarah gemilang bangsa Melayu kita.

“Filem Mat Kilau hanya permulaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Filem Mat Kilau yang diinspirasikan daripada tokoh perjuangan tanah air, berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM96 juta dalam tempoh 40 hari selepas ditayangkan pada 23 Jun di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Filem itu dibarisi pelakon hebat antaranya Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Wan Hanafi Su, Jalaluddin Hassan, Rahim Razali, Mubarak Majid, Shaharuddin Thamby, Namron, A. Galak, Ellie Suriaty dan Khir Rahman.

Pautan berkaitan;

Datuk Rosli letak jawatan Pengerusi Studio Kembara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button