Berita Utama

Polis Melaka nafi tutup sempadan negeri sempena PRN

SOP yang tular sejak petang semalam adalah palsu

MELAKA, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Polis Melaka menafikan akan menutup sempadan negeri selama 15 hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti ditularkan menerusi media sosial.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata prosedur operasi standard (SOP) yang tular sejak petang semalam adalah palsu dengan disunting daripada SOP PRN Sabah sebelum ini dan perkara itu kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis Melaka masih menunggu SOP berkaitan PRN Melaka daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan penularan maklumat tidak sah di media sosial dan diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Melaka jika memerlukan penjelasan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Kenyataan yang tular tersebut antaranya turut menyatakan bahawa penutupan sempadan negeri Melaka dalam tempoh 15 hari bermula sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari mengundi pada 20 November 2021 termasuk sekatan jalan raya (SJR) diaktifkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button