Berita Utama

PRN Melaka: Kemungkinan hanya 60 peratus pengundi turun kali ini

Kecewa dengan krisis politik dan faktor COVID-19 pengaruhi pengundi

Oleh Zuhayati Yazid

MELAKA, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan penurunan drastik dalam kalangan pengundi susulan daripada kes COVID-19 yang masih lagi tinggi.

Selain itu, rasa kecewa dengan kemelut politik yang melanda juga menjadi faktor kepada penurunan tersebut.

Penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir menganggarkan hanya 60 peratus sahaja pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka kali ini.

Jelasnya, keadaan ini akan memberi kesan besar dalam menentukan siapa pemenang di satu-satu Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jentera pengundi perlu memainkan peranan penting bagi memastikan penduduk di negeri itu turun mengundi selepas rakyat kecewa dengan keadaan politik yang disebabkan perpecahan.

“Bukan itu sahaja, rakyat hari ini juga dilihat akan lebih mengutamakan isu keselamatan nyawa berikutan keadaan negara yang masih lagi berdepan pandemik COVID-19 walaupun sudah memasuki fasa endemik.

“Ini semua mempengaruhi peratusan mengundi, dan hasil kajian yang dijalankan bakal menyaksikan hanya 60 hingga 65 peratus sahaja rakyat akan keluar mengundi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Prof Jeniri turut berpandangan, kempen yang dijalankan secara hybrid dan tiada perhimpunan juga bakal mempengaruhi penurunan kadar pengundi khususnya dalam kalangan warga emas.

“Kalau dulu melalui perhimpunan dan kempen fizikal boleh memberi maklumat kepada rakyat, tetapi kini kempen secara hybrid yang boleh tertumpu kepada muda sahaja.

“Keadaan ini menyebabkan pengundi dalam kalangan warga emas masih terpinga-pinga menanti maklumat daripada calon.

“Keadaan menyebabkan pengundi keliru sekali gus mengambil keputusan untuk tidak turun mengundi,” katanya lagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), seramai 418,112 daripada 494,662 orang pengundi berdaftar di Melaka turun mengundi atau 84.5 peratus.

Ketika itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 kerusi berbanding UMNO 13 kerusi, namun kerajaan PH tumbang pada Mac tahun lalu kerana penarikan sokongan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum diambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN).

Namun 5 Oktober lalu, empat ADUN – dua dari UMNO, seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta seorang bebas mengumumkan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button