Berita Utama

Tukar model kereta rasmi kerajaan untuk jimatkan kos sewaan: MOF

Kos sewa Toyota Vellfire 2.5L iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium RM4,854.41

PUTRAJAYA, 2 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Penukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L dapat menjimatkan perbelanjaan sewaan kenderaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

MOF menerusi kenyataan memaklumkan kos sewaan bulanan bagi kereta Toyota Vellfire 2.5L adalah lebih rendah iaitu RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium iaitu RM4,854.41.

“Penukaran model KRJ juga dibuat berikutan penamatan pengeluaran Proton Perdana 2.4 Premium pada 2014,” menurut kenyataan itu.

Tular di media sosial baru-baru ini mengenai penggunaan model kereta Toyota Vellfire 2.5L bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri apabila proses penggantian kenderaan itu dimulakan pada April lepas.

Menurut kementerian itu, cadangan penukaran model kereta yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Jemaah Menteri itu telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, namun hanya dilaksanakan tahun ini.

“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button