Berita Utama

Ketua tentera Sudan tidak sertai kerajaan selepas tempoh peralihan

'Kami komited untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam'

MOSCOW, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Ketua Tentera Sudan Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dalam satu temubual dengan Al Jazeera berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana kerajaan selepas tempoh peralihan, lapor Sputnik.

Kenyataan itu dibuat ketika demonstrasi menentang pengambilalihan tentera berterusan di Khartoum dan beberapa bandar lain, memburukan lagi krisis politik di negara itu.

“Kami komited untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang mampu mentadbir dan berjanji untuk memelihara proses peralihan itu daripada sebarang gangguan yang boleh menghalangnya,” kata al-Burhan pada Ahad, mengulangi komitmen untuk menyelesai peralihan demokrasi dan mengadakan pilihan raya tepat pada masanya.

Pemimpin tentera itu juga berkata perbincangan sedang berlangsung dengan parti-parti politik dan tokoh-tokoh lain untuk mencapai kata sepakat bagi membentuk kerajaan baharu.

Mengulas mengenai keganasan semasa tunjuk perasaan anti-rampasan kuasa, al-Burhan menafikan pembunuhan penunjuk perasaan oleh tentera Sudan sambil mengatakan siasatan mengenainya sedang berlangsung.

“(Kami) komited membenarkan mana-mana aktiviti politik selagi ia aman, dan mematuhi perisytiharan perlembagaan dan bahagian yang dibenarkan,” kata al-Burhan, sambil menambah orang ramai berhak membuat bantahan secara aman.

Pada 25 Oktober, tentera Sudan menahan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan beberapa menteri kabinet lain, menyebabkan ratusan orang turun ke jalanan untuk membantah pengambilalihan tentera. Ketua Majlis Berdaulat Sudan, al-Burhan, mengisytiharkan darurat dan membubarkan majlis dan kerajaan.

Menurut jawatankuasa perubatan negara itu, 12 orang terbunuh dan lebih 100 yang lain cedera semasa bantahan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button