Berita UtamaIstimewa

MCA letak calon lepasan UEC tak faham bahasa Melayu?

Hui Ying merupakan lepasan ijazah dari Shih Hsin University, Taiwan

BANGI, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Ramai meluahkan rasa terkejut apabila melihat calon dari parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying, 29, tidak boleh menjawab soalan yang diutarakan dalam bahasa kebangsaan.

Dalam sebuah video yang tular di laman sosial Facebook, Hui Ying dilihat tergagap untuk menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan berkenaan tema BN pada PRN kali ini iaitu ‘Kestabilan Demi Kesejahteraan’.

Salah seorang wartawan pada mulanya menanyakan soalan dalam bahasa Inggeris, kemudian menterjemahkan soalannya ke bahasa Melayu untuk mendapat komen Hui Ying berkenaan tema BN itu dan sama ada beliau mampu untuk membawa kestabilan politik di Melaka.

Dia turut disoal mengenai pandangannya sebagai calon muda untuk bersaing dengan senior politik.

Bagaimanapun, Hui Ying dilihat teragak-agak memberikan jawapannya, sehingga perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain untuk memberikannya idea jawapan.

Hui Ying yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pertuturan (Shih Hsin University, Taiwan) itu akhirnya secara ringkas menjawab ‘I will try my best’ setelah dibantu.

Berdasarkan maklumat diperoleh Ismaweb.net, Hui Ying merupakan lulusan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – Pay Fong High School – yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak diiktiraf di Malaysia, sebelum melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Dalam video balas terbaharu, Hui Ying menafikan dakwaan dia tidak pandai berbahasa Melayu.

“Saya tahu bahasa Melayu. Anak Melaka. Memang tahu bahasa Melayu. Saya harapkan sokonganlah, dan akan berbuat baik,” katanya.

Dia juga meminta agar penduduk DUN Kesidang tidak salah faham terhadap isu itu dan meminta mereka mengundinya.

Hui Ying akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) dari Gerakan, Patrick Ng Chin Kae dan calon Pakatan Harapan (PH), yang juga penyandang kerusi DUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button