Berita Utama

Dong Jiao Zong gesa pembelajaran Jawi ditangguh segera

Syor agar tulisan daripada etnik lain diperkenalkan

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Pertubuhan radikal, Dong Jiao Zong dengan tidak semena-mena menggesa kerajaan menangguhkan segera pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Pertubuhan itu menggesa agar kandungan pembelajaran mengenai kepelbagaian budaya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.

Katanya, syor itu dibuat agar tulisan daripada etnik lain juga dapat diperkenalkan di samping tulisan Jawi.

“Pendekatan ini akan membolehkan pelajar mengenali keunikan seni tulisan etnik lain. 

“Ia bukan sahaja sesuai dengan kepelbagaian kaum di negara ini bahkan ia menyumbang kepada pengenalan dan pertukaran budaya,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Cina, China Press, Jumaat (5 November).

Dalam kenyataannya, Dong Jiao Zong mendakwa pada bulan Julai tahun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi berkata, KPM akan menyemak secara menyeluruh pelaksanaan pembelajaran Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.

Dong Jiao Zong yang tidak berpuas hati dengan perkara itu mendakwa, masyarakat Cina dan India telah berkali-kali memohon agar pelaksanaan pembelajaran tersebut ditangguhkan. 

Di samping itu, sebuah jawatankuasa pelbagai etnik telah ditubuhkan bagi merangka satu penyelesaian untuk isu ini yang selaras dengan keadaan kepelbagaian di Malaysia.

“Namun demikian, tiada sebarang semakan baru yang telah dibuat oleh KPM sehingga hari ini. Sebaliknya (KPM) telah mengabaikan saranan majoriti masyarakat Cina dan India dengan terus melaksanakan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 dan 5 di SJKC dan SJKT. 

“Bahkan pelaksanaan ini akan diperluaskan lagi ke tahun 6 pada tahun hadapan. Dalam perkara ini, Dong Jiao Zong berasa amal kesal dan tidak berpuas hati,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut juga, Dong Jiao Zong mendakwa hasil soal selidik yang melibatkan ibu bapa pelajar tahun 4 di SJKC dan SJKT, mendapati 98 peratus SJKC di seluruh negara tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini.

“Dapat dilihat, pelaksanaan dan pengurusan KPM dalam hal ini tidak mendapat persetujuan semua pihak. 

“Oleh itu, KPM mesti segera menangguhkan pelaksanaannya dan melakukan semakan secara menyeluruh. Bukannya terus melaksanakannya dan mengundang rasa tidak puas hati dan curiga rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button