Berita Utama

Hentikan ‘spot check’ haid pelajar perempuan

Tindakan tegas diambil jika ia berlaku di institusi pendidikan bawah KPM

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan peringatan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya menghentikan pemeriksaan fizikal mengejut ke atas pelajar perempuan.

Dalam pekeliling bertarikh 2 November lepas, semua JPN dan PPD telah diberitahu untuk memastikan amalan serta pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid tidak berlaku di mana-mana institusi di bawah kementerian.

“KPM mendapati pemeriksaan fizikal khususnya berkaitan haid dalam kalangan pelajar perempuan telah berlaku di institusi pendidikan di bawah kementerian,” kata pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid.

Beliau juga berkata, kementerian memandang serius isu itu dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku di mana-mana institusi di bawah bidang kuasanya.

“Tindakan tegas perlu diambil sekiranya amalan ini didapati berlaku di institusi pendidikan di bawah kementerian.

“JPN dan PPD perlu sentiasa peka dan melakukan pemantauan berterusan agar perkara ini tidak berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Pekeliling itu dibuat susulan pertemuan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin dengan pelajar yang terlibat dalam dakwaan pemeriksaan mengejut haid pada 26 Oktober.

“Saya memandang serius perkara ini. Jika ada amalan sedemikian di mana-mana institusi Kementerian Pendidikan, kami komited untuk memastikan ia tidak berterusan,” katanya dalam tulisan di media sosial.

Ini bukan kali pertama semakan mengejut haid telah dilaporkan.

Pada April lalu, beberapa pelajar dalam laman sosial, mendedahkan amalan itu berlaku di sekolah semasa bulan Ramadan.

Susulan itu, Radzi berkata, kementerian akan menubuhkan jawatankuasa baharu untuk meneliti dakwaan berkenaan dan isu lain yang serupa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button