Berita Utama

Sekali lagi kepala air berlaku di Titi Hayun

Tiada kejadian buruk, paras air surut tidak lama kemudian

ALOR SETAR, 24 Muharram 1443H, Khamis – Fenomena kepala air yang menyebabkan aliran air deras didakwa berlaku lagi di kawasan rekreasi Titi Hayun, Yan akibat hujan lebat hari ini.

Bagaimanapun  tiada kejadian buruk dilaporkan akibat fenomena yang berlaku sekitar tengah hari tadi itu dan paras air dikatakan surut tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan di kawasan tersebut dan mendapati ia tidak seburuk seperti kejadian pada 18 Ogos lepas.

“Pemantauan pada 2 petang tadi dilakukan berdasarkan penyebaran video menerusi laman media sosial mengenai kejadian kepala air yang berlaku di kawasan Titi Hayun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beberapa klip video mengenai fenomena itu dikongsi menerusi aplikasi media sosial yang menunjukkan keadaan limpahan air di sebatang jalan di Titi Hayun.

Pada 18 Ogos lepas, fenomena kepala air dari Gunung Jerai telah meragut enam nyawa dan ratusan penduduk dari beberapa kampung di Yan dilanda banjir lumpur yang turut menjejaskan kawasan Merbok di daerah Kuala Muda. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button