Berita Utama

PRN Melaka: 15 calon Bebas wujudkan ‘Gagasan Bebas’

Bertujuan membetul dan menstabilkan arena politik Melaka

MELAKA, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Seramai 15 daripada 22 calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bersetuju mewujudkan Gagasan Bebas bagi menghadapi kempen PRN berkenaan.

Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam Datuk Norazlanshah Hazali berkata gagasan tersebut diwujudkan atas rasa nekad calon-calon Bebas berkenaan, untuk membetul dan menstabilkan arena politik di negeri itu.

“Setakat ini seramai 15 calon bebas telah bersetuju dengan cadangan ini, dan selebihnya masih dalam perbincangan.

“Kami semua adalah calon Bebas, tidak terikat dengan mana-mana parti, malah tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Pada penamaan calon hari ini, seramai 22 calon Bebas akan bertanding di 16 DUN termasuk Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang akan mempertahankan kerusi Pengkalan Batu.

Katanya mereka semua bersepakat ingin mengetengahkan beberapa isu terutamanya melibatkan kesihatan dan kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Norazlanshah menjelaskan kesemua 15 calon tersebut akan menandatangani surat akuan bersumpah (SD), dan pihaknya kini pada fasa akhir memperhalusi kandungan dokumen itu.

“Antara intipati utama SD tersebut adalah calon yang bersama Gagasan Bebas tidak akan membentuk satu parti baharu selepas PRN, atau sesekali melompat parti sekiranya ditawarkan menyertai mana-mana parti selepas ini.

“Kami juga bersedia untuk meletakkan jawatan malah rakyat boleh menuntut dan bawa kami ke mahkamah bagi mengosongkan kerusi, jika kami ingkar SD tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button