Artikel Khas

PRN Melaka: Pertembungan sesama sendiri tak sepatutnya berlaku

Apakah UMNO, PAS dan BERSATU mahu ‘test market’ mendepani PRU15?

PERKARA yang melibatkan masa depan agama, bangsa dan negara, jangan dibuat ‘test market’ takut membawa padah.

Ego, angkuh, sombong dan bongkak, hanya akan membawa kepada kemusnahan. Negara ini bukan Brunei dan Indonesia, yang mana populasi umat Islam jauh lebih ramai.

Ada tiga kemungkinan UMNO (BN) dan PN bertindak bertanding solo (bertembung sesama sendiri) dalam PRN Melaka.

Pertama, jika menang PRN Melaka, pastinya, mereka akan berasa lebih yakin mendepani PRU15, terus dengan keyakinannya untuk kekal di Putrajaya. Menjadi semakin ego, angkuh, sombong dan bongkak.

Kedua, andainya kalah (lemah), PH memerintah, ketika itu semua pakat-pakat akan mencari kawan semula seperti yang berlaku dalam PRU14. Mencari kawan menangis, apabila kawan ketawa menjauhi.

Ketiga, setiap parti merasakan mereka adalah ‘king maker’, boleh menjadi kuasa penentu sama ada membentuk kerajaan bersama PN atau PH, kerana tidak ada parti yang mendapat majoriti besar, yang ada majoriti mudah.

Jika begitu keadaannya, di manakah maruah kita? Mulianya manusia kerana maruah dan prinsip yang dipegang. Bukannya memperjudikan maruah dan prinsip itu.

Apapun risiko bertanding secara solo ini ibadat menggali kubur sendiri dalam lanskap politik majoriti Melayu Islam tidak besar. Apakah kita tidak mahu belajar daripada sejarah? Sebatang lidi lebih mudah dipatahkan daripada seberkas.

Soal berkaitan masa depan negara, tidak boleh dibuat ‘test market’. Mudarat lebih besar berbanding manfaat. Realiti ini sedang berlaku.

Amat malang sekali berlaku pertembungan sesama parti dalam kerajaan. Pada masa sama, kita berkata, kerajaan tetap utuh walaupun saling berlawan dan bertembung antara satu sama lain. Bolehkah dipegang kata-kata ini?

Apakah kita boleh saling percaya-mempercayai ketika berada dalam kerajaan, realitinya kita sedang bertempur sesama sendiri? Masing-masing memendam rasa dan menunggu masa untuk melunaskannya.

Nampak peristiwa lalu berulang kembali. Umat Melayu Islam tidak mahu mengambil pengajaran, sedangkan pengajaran itu amat penting dalam kehidupan masa kini dan akan datang.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.” (QS 59. Al-Hasyr : 2)

Ayat ini berhubung kait dengan kisah pengepungan dan pengusiran Yahudi Bani Nadhir. Menarik adalah bahagian penutup ayat ini, “fa’tabiru ya ulil abshar (Maka ambillah pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan)”.

Apakah kita benar-benar mengambil pengajaran sejarah yang telah berlaku? Tidak!

Hanya orang yang berilmu yang dapat menyedarinya, bukan yang mengikut nafsu. Ayat ini mengingatkan kita betapa sombongnya Yahudi. Akhirnya, kalah dalam keadaan yang hina. Kejadian ini pernah menimpa umat Islam masa lalu. Tidak mustahil menimpa kembali apabila kita merasai diri kuat, diikuti sifat angkuh dan sombong.

Berkali-kali telah saya ingatkan bahawa, lanskap politik Malaysia bukan seperti Indonesia atau Brunei atau negara-negara Islam Timur Tengah. Majoriti mereka besar.

Populasi kita adalah 60:40. Angka 69:31, termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak. Dalam kata lain, umat Islam dalam sekitar tidak sampai 60 peratus. Jika berpecah kepada 3-6 kumpulan, matematik tahun satu pun sudah dapat mencongaknya.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya dengan mempertaruhkan lima calon untuk merebut kerusi dewan PRN Melaka pada 20 November. Kita masih menunggu apa keputusan Berjasa. Ini baharu PRN belum PRU.

Sebenarnya, Putra dan Berjasa tidak akan muncul jika parti-parti politik Melayu yang ada ikhlas dalam perjuangan. Tetapi nampaknya keikhlasan semakin jauh. Nafsu semakin menguasai diri dan parti.

Apalah nasib agama, bangsa dan negara. Sedangkan ultra kiasu bersatu tenaga, menunggu masa.

Sepatutnya, dalam memahami Islam, bila berlaku pertembungan antara parti dengan maslahah umat Islam, maka kepentingan parti perlu dikemudiankan, kepentingan umat Islam mesti diletakkan di hadapan.

Nampaknya tidak berlaku, UMNO-PAS-PPBM, masing-masing keras kepala, saling ugut-mengugut.

UMNO tidak perlu membuang masa mengugut PAS, kerana PAS sudah tidak lut dengan ugutan. PAS tidak akan bertahan sehingga ke hari jika kalis dengan ugutan. Jadi, tak perlu buang masa membuat ugutan terhadap PAS. Mungkin ada satu kelemahan PAS, iaitu kalis dengan jawatan.

Nasihat saya kepada semua parti yang bertanding;

Pertama, fikirkanlah kepentingan agama, bangsa dan negara. Pastikan negeri (negeri) ini tidak jatuh lagi kepada ultra kiasu. Terlalu mahal harga yang perlu dibayar.

Pertandingan tiga penjuru atau lebih, tidak menjanjikan keuntungan kepada umat Islam dalam sebuah negara yang majoriti umatnya tidak besar. Buang jauh-jauh rasa diri kuat, mendabik dada, bongkak, angkuh dan sombong.

Kedua, maruah agama, bangsa dan negara, tidak boleh dibuat ‘test market’. Risikonya amat besar. Celakalah kamu jika memperjudikannya.

Ketiga, belajarlah daripada penyatuan ultra kiasu, jika tidak mahu belajar daripada sejarah Islam. Ultra kiasu sentiasa menunggu ruang dan peluang. Jangan berikan bola tanggung kepada mereka. Keadaan politik hari ini bukan seperti dahulu. Semua maklumat hari di hujung jari. Sedikit kesilapan atau silap dalam membuat keputusan boleh membawa kepada implikasi besar.

Keempat, jika PRN Melaka mahu dijadikan indikator dalam membuat perancangan mendepani PRU15, apakah kita mengharapkan keadaan jadi lebih baik? TIDAK! Katakan UMNO (BN) menang dengan majoriti, UMNO yakin akan terus solo. Jika PN mendapat majoriti, PN pun sedemikian. Masing-masing bongkak dengan kemenangan. Di manakah penyatuannya sebagai pilihan kedua? Yang ada, pilihan ketiga, tidak ada majoriti, masing-masing mahu menjadi ‘king maker’. Maka berlakukan lompatan demi lompatan. Di manakah maruah dalam politik. Kita sedang memperjudikan agama, bangsa dan negara.

Nasihat akhir saya kepada semua pemimpin politik. Tidak ada formula yang lebih baik, melainkan penyatuan. Bersatulah. Ingat amaran Allah, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (Islam) jangan kamu berpecah-belah. Kamu sebagai pemimpin yang diamanahkan mempunyai tanggungjawab besar, menajga agama, bangsa dan negara dengan baik. Inilah amanah yang rakyat telah berikan terhadap kamu semua. Amanah ini terlalu besar, ada perkiraan dunia dan akhirat. Kita tidak akan terlepas daripada semua itu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button