Berita Utama

PRN Melaka: Proses penamaan calon berjalan lancar – Polis

Terdapat 2 insiden kecil namun berjaya ditangani pihak polis

ALOR GAJAH, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini berjalan lancar, kata Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka ACP Mohd Hedzir Hussin.

Beliau berkata bagaimanapun, terdapat dua insiden kecil namun berjaya ditangani pihak polis dan akan disiasat untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Hedzir, polis mendapati kesemua petugas serta calon yang hadir di pusat penamaan calon mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Alhamdulillah pada pagi ini, telah pun selesai proses penamaan calon di 28 lokasi dan kita dapati ia berjalan dengan lancar dan mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak MKN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Hedzir berkata semua pihak terutama parti politik perlu mematuhi SOP berkaitan pencegahan COVID-19 dikeluarkan MKN sepanjang pelaksanaan PRN Melaka.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah dilaporkan berkata Polis negeri itu menerima dua laporan berhubung tindakan calon membawa penyokong di dua pusat penamaan calon bagi PRN Melaka, hari ini.

Menurut Razali, laporan membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button