Berita Utama

Tak perlu dilayan permintaan ‘lebih sudu daripada kuah’ Dong Jiao Zong

Pendidikan satu aliran matlamat utama, usah dinaikkan lagi darjat sekolah vernakular

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Desakan melampau pertubuhan radikal Dong Ziao Jong yang meminta kerajaan menginstitusikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta membina bilangan sekolah itu secukupnya mengikut keperluan struktur penduduk dan keperluan sebenar sesebuah kawasan, sama sekali tidak perlu dilayan.

Naib Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual berkata, sekolah vernakular tidak perlu dinaikkan lagi ‘darjatnya’ tetapi dihapuskan lalu menjadikan ia sekolah satu aliran.

“Kerajaan perlu abaikan sahaja permintaan Dong Jiao Zong ini. Permintaan mereka makin melampau dan mengarut, lebih sudu daripada kuah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net

Terdahulu, Dong Jiao Zong dipercayai membuat tuntutan demikian berikutan kecewa terhadap tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan kerja-kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing dihentikan.

Ia menuntut kerajaan menginstitusikan sekolah vernakular sama seperti sekolah kebangsaan (SK), selain itu kerajaan mesti menanggung semua kos yang melibatkan pembinaan dan tanah, katanya seperti dilapor Oriental Daily.

Membidas kenyataan itu, Soufi menegaskan, banyak lagi SK masih daif, terutamanya di luar bandar yang perlu dibantu dan wajib dinaik taraf.

Katanya, membantu membina lagi sekolah vernakular hanya akan menambahkan jurang perkauman yang sudah terbukti berlaku di kalangan masyarakat hari ini.

“Kita kerap ketemu dengan orang muda Cina yang tak tahu berbahasa Melayu.

“Sepatutnya kerajaan menghapuskan sekolah vernakular dan hanya kekalkan sekolah satu aliran sahaja iaitu sekolah kebangsaan.

“Melalui pendidikan satu aliran sekolah kebangsaan ini barulah perpaduan dan keharmonian kaum dapat dicapai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button