Berita Utama

PRN Melaka: Pengundi mesti tolak calon lulusan, sokong UEC

Selari kehendak majoriti rakyat cintakan perpaduan melalui pendidikan

BANGI, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Pengundi Melaka perlu menolak calon daripada mana-mana parti yang mempunyai kelulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Atas dasar keprihatinan dan cintakan tanah air, pengundi digesa memilih wakil rakyat yang cintakan perpaduan yang diterjemahkan melalui sistem pendidikan.

Wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak berkata, tidak kiralah calon mana-mana parti sekali pun, jika menyokong UEC – mereka wajar ditolak.

Mereka tidak boleh diberikan peluang dan terlibat dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata, sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari mempertahankan tindakan kerajaan negeri mengiktiraf UEC sebagai antara syarat bagi pengambilan penjawat awam di negeri ini.

“Malang dan sangat mengecewakan apabila Melaka adalah negeri terawal cuba mengiktiraf UEC suatu ketika dahulu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Telah ada cubaan mengiktiraf sijil UEC sebelum ini iaitu seorang Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka, Lim Kwok Thuan yang mempunyai sijil UEC diterima berkhidmat sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 1 April lepas.

“Kini, BN pula bersungguh-sungguh masukkan calon lulusan UEC ke DUN Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular video calon muda dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying yang tidak boleh menjawab soalan yang diutarakan dalam bahasa kebangsaan.

Menerusi video tular di laman sosial, Hui Ying dilihat tergagap untuk menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan berkenaan tema BN pada PRN kali ini iaitu ‘Kestabilan Demi Kesejahteraan’.

Dia turut disoal mengenai pandangannya sebagai calon muda untuk bersaing dengan senior politik.

Bagaimanapun, Hui Ying dilihat teragak-agak memberikan jawapannya, sehingga perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain untuk memberikannya idea jawapan.

Hui Ying yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pertuturan (Shih Hsin University, Taiwan) itu akhirnya secara ringkas menjawab ‘I will try my best’ setelah dibantu.

Berdasarkan maklumat diperoleh Ismaweb.net, Hui Ying merupakan lulusan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – Pay Fong High School – yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak diiktiraf di Malaysia, sebelum melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Namun dalam video balas terbaharu, Hui Ying menafikan dakwaan dia tidak pandai berbahasa Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button