Bomoh alam Melayu perlu kajian semula
Amalan bomoh jika tidak ikut lunas syarak boleh bawa kepada syirik

BOMOH alam Melayu perlu dibuat kajian semula untuk memastikan amalan mereka bertepatan dengan syarak atau tidak. Kebimbangan amat terasa apabila amalan bomoh telah membawa kepada pembunuhan tanpa bukti yang betul sebagaimana berlaku kepada seorang pelajar UPNM.
Hasil dari amalan bomoh ini amat bertentangan dengan syarak. Bahkan bomoh ini sepatutnya dibicarakan dan dijatuhkan hukuman kerana amalannya menyebabkan kematian.
Masyarakat perlu diberi kesedaran sejauh mana amalan penggunaan bomoh yang dibolehkan oleh syarak kerana amalan bomoh jika tidak mengikut lunas syarak boleh membawa kepada syirik.
Amalan bomoh juga bukan saja dianuti oleh masyarakat awam bahkan ianya melibatkan ahli-ahli agama sama ada sebagai pengamal atau pengikut. Kes pembunuhan di atas amat mengelirukan bila dikaitkan dengan solat hajat dan solat istikharah seolah-olah ianya bertepatan dengan syarak. Tanggapan masyarakat akan merasakan betul bila keputusan bomoh tersebut dikaitkan dengan solat hajat dan istikharah.
Kes kecurian tidak boleh dibuktikan dengan ramalan bomoh bahkan melalui solat hajat dan istikharah. Amalan ini amat bertentangan dengan Islam. Solat hajat dan istikharah boleh diamalkan untuk mendapat petunjuk dari Allah mengenal pasti pencuri tetapi bukan untuk membuktikan tuduhan kecurian. Amat malang lagi bila amalan bomoh membawa kepada pembunuhan.
Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan