Berita UtamaDunia

Empat bayi baru lahir maut, wad ICU hospital di India terbakar

Punca dipercayai litar pintas atau letupan dalam silinder

BHOPAL, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Empat bayi baharu dilahirkan yang ditempatkan di Unit Rawatan rapi (ICU) menjadi korban dalam kebakaran di sebuah hospital awam di negeri Madhya Pradesh, India.

Lebih 40 bayi ditempatkan di wad Pediatrik di Hospital Kamla Nehru, ketika kebakaran yang bermula di bahagian unit rawatan rapi berkenaan.

Keadaan mencetuskan suasana panik dalam kalangan ibu bapa yang bimbang keselamatan anak masing- masing.

Polis berkata, dua bayi disahkan terkorban kerana sesak nafas berikutan api marak dengan cepat.

“Terdapat 41 kanak-kanak ditempatkan wad berkenaan, empat daripadanya terkorban manakala yang lain selamat dan kini berada dalam keadaan stabil,” kata pegawai penyiasat, Anil Bajpai.

Beberapa jururawat dan doktor juga mengalami sesak nafas ketika operasi menyelamatkan mangsa.

Saluran televisyen tempatan menyiarkan keadaan panik di hospital ketika kepulan asap tebal memenuhi kawasan di hospital.

Lebih 25 anggota pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh beberapa jam.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesyaki litar pintas atau letupan dalam silinder oksigen menjadi punca kebakaran.

Kejadian berkenaan merupakan kali kedua melibatkan kebakaran di hospital dalam tempoh dua hari berturut-turut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button