Berita Utama

Penting kuasai bahasa Melayu, jangan sampai calon tak fasih menang PRN

Penguasaan bahasa kebangsaan mudah untuk sampaikan mesej rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Calon yang fasih berbahasa Melayu seharusnya menjadi pilihan utama parti politik dan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Sani menegaskan, pemilihan calon yang menguasai bahasa kebangsaan sangat penting kerana mereka perlu berbahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun di Parlimen kelak.

“Tetapi dalam kes yang itu saya tak pasti kenapa beliau (Leong Hui Ying) tidak menjawab (soalan) sebab saya tengok satu lagi klip di mana beliau berbicara dalam Bahasa Melayu dengan agak baik.

“Jadi saya rasa tiada isu di pihak calon tersebut,” katanya dalam program bual bicara Dimensi bertajuk Calon PRN Melaka: Hipokrit atau Berwibawa yang disiarkan secara langsung di TV Pertiwi, malam ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan mengenai isu tular membabitkan calon termuda Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka, Hui Ying yang dilihat tidak fasih berbahasa Melayu.

Menerusi video tular di laman sosial sejak Ahad, Hui Ying dilihat tergagap untuk menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan berkenaan tema BN pada PRN kali ini iaitu ‘Kestabilan Demi Kesejahteraan’.

Dia turut disoal mengenai pandangannya sebagai calon muda untuk bersaing dengan senior politik.

Bagaimanapun, Hui Ying dilihat teragak-agak memberikan jawapannya, sehingga perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain untuk memberikannya idea jawapan.

Malah kedengaran dia melontarkan ayat berbahasa Cina yang bermaksud ‘saya tidak tahu’ bagi menjawab soalan wartawan tersebut.

Tidak lama selepas itu, calon kerusi MCA bagi DUN Kesidang itu membuat pengakuan bahawa dia boleh berbahasa Melayu menerusi satu lagi video berdurasi 34 saat.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berpandangan bahawa perkara ini bukan sesuatu yang baru memandangkan sebelum ini juga ada calon parti politik yang tidak boleh berbahasa Melayu menang kerusi Parlimen.

“Jadi isu perdebatan di Parlimen ketika itu dia hanya baca teks. Saya rasa tak ‘proper’ kerana kita nak lihat perdebatan isu-isu. Kalau hanya membaca teks saya rasa kita suruh siapa-siapa pun boleh jadi Ahli Parlimen.

“Peranan mereka untuk mengetuai bukan sahaja di peringkat DUN tetapi juga berbicara dan menyampaikan mesej rakyat dalam DUN itu sangat penting juga. Justeru, penguasaan Bahasa Melayu itu sangat penting,” tegasnya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/1997028723808000/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button