Berita UtamaDunia

PM New Zealand hadapi tekanan politik, protes peraturan COVID-19 meningkat

Desakan supaya tamatkan keperluan vaksin mandatori

WELLINGTON, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – New Zealand mempertingkatkan langkah keselamatan di Parlimen susulan bantahan ribuan orang terhadap mandat vaksin COVID-19 dan sekatan pergerakan yang bertujuan mengawal pandemik itu.

Semua kecuali dua pintu masuk ke bangunan Parlimen – dikenali sebagai Beehive – ditutup sebagai langkah keselamatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ini kerana kebanyakan penunjuk perasaan yang tidak memakai pelitup muka berarak melalui pusat Wellington dan berkumpul di luar Parlimen.

Ketika demonstrasi berlangsung secara aman, ramai peserta dilihat memegang papan tanda dan sepanduk dengan mesej seperti ‘Kebebasan’ dan ‘Burung Kiwi bukan tikus makmal’.

Mereka turut melaung slogan menuntut kerajaan membatalkan kewajipan vaksinasi dan menghapuskan sekatan.

Plakad yang menunjukkan sokongan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan menyelar media sebagai ‘palsu’ dan penipuan turut dipaparkan.

New Zealand bergelut melawan varian Delta yang sangat mudah menular, memaksa Perdana Menteri, Jacinda Ardern beralih daripada strategi penghapusan melalui sekatan pergerakan kepada hidup bersama virus dengan vaksinasi yang lebih tinggi.

Ardern bulan lalu berkata, negara itu akan mewajibkan guru dan pekerja sektor kesihatan dan orang kelainan upaya (OKU) untuk divaksin sepenuhnya.

Ini sekali gus mengundang kritikan daripada pihak yang meminta lebih banyak kebebasan serta untuk menamatkan keperluan vaksin mandatori.

Bercakap kepada pemberita di dalam Parlimen, Ardern berkata: “Apa yang kita lihat hari ini bukanlah mewakili sebahagian besar rakyat New Zealand.”

Bagaimanapun Perdana Menteri menghadapi tekanan politik yang semakin meningkat dan protes awam untuk melonggarkan langkah-langkah pandemik menjelang cuti Krismas.

Beliau merancang untuk ke Auckland esok apabila sekatan pergerakan yang dikuat kuasakan di bandar itu hampir tiga bulan lalu longgar.

Ardern dijangka menghadapi lebih banyak bantahan ketika lawatannya.

New Zealand masih kekal antara kes COVID-19 terendah di dunia dengan bawah 8,000 kes dilaporkan setakat ini dan 32 kematian.

Negara itu melaporkan 125 kes baharu hari ini dan jumlah pemberian dua dos vaksin COVID-19 telah mencapai hampir 80 peratus daripada populasi yang layak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button