Berita Utama

PRN Melaka: Sedih, rebut kuasa terus berlaku tanpa penyatuan Melayu

Lebih utamakan kepentingan politik berbanding khidmat untuk rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Perebutan kuasa sehingga berlakunya pertembungan enam hingga tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan kepentingan politik lebih diutamakan berbanding masa depan rakyat.

Ternyata, keadaan itu sangat merugikan masa depan orang Melayu dan Islam.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan berlaku saingan enam penjuru di tiga kerusi DUN, manakala pertandingan lima penjuru pula di lima kerusi DUN.

Pertandingan tiga penjuru pula akan membabitkan 11 kerusi DUN, manakala empat penjuru direkodkan di sembilan kerusi DUN.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling menjangkakan calon-calon Melayu yang sanggup bertembung sesama sendiri bakal memberi implikasi besar.

“Keadaan ini bawa kerugian besar kerana menyebabkan perpecahan undi Melayu.

“Situasi ini juga beri peluang kepada pihak lain yang kini boleh bertepuk gembira selepas memiliki undi solid apabila berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Zainal tidak menolak kemungkinan calon yang bertanding seolaholah tidak lagi berpegang kepada prinsip bersatu teguh.

“Terlalu sedih, mereka tidak peduli jangka panjang, tanpa memikirkan penyatuan orang Melayu, sebaliknya yang diutamakan adalah kuasa dan dirinya sahaja,” katanya.

Tegas beliau juga, kemunculan ramai calon bebas memberi cerminan bahawa rakyat hari ini sudah matang dan muak dengan politik sedia ada.

“Mungkin mereka lihat pemimpin dalam kalangan mereka terutama UMNO terlibat dengan kes rasuah menyebabkan calon Bebas ini mahu pembaharuan.

“Mereka tawarkan diri dengan alasan memperbetulkan semula keadaan demi menstabilkan arena politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button