Berita Utama

UMNO tak perlukan PAS untuk berdamai dengan Bersatu

Laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah halwa telinga

BANGI, 4 Rabiulakhir 1443H, Selasa – UMNO tidak memerlukan PAS untuk mendamaikan parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tegas tidak bekerjasama dengan Bersatu bukan kerana membelakangkan kepentingan ummah dan bangsa Melayu, tetapi kerana parti itu dibidani kelahirannya untuk mengganti UMNO.

“Ia secara terang dan jelas, seteru UMNO. PAS wajar mengerti kedudukan ini.

“Kerana itu UMNO tidak memerlukan PAS untuk mendamaikan ia dengan PPBM. Seperti UMNO juga tidak pernah mengusahakan damai antara PAS dan Amanah demi kepentingan ummah kerana UMNO tahu sejarah keduanya.

“PAS tidak boleh mengikat UMNO dengan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa yang sama mendambakan Perikatan Nasional (PN). PAS wajar terus dengan PN kerana ia tidak boleh terus keliru dengan apa yang ia kehendaki,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook beliau, hari ini.

Khaled berkata, keputusan kepimpinan PAS memilih PN daripada mengutamakan MN dan menetapkan bahawa ahlinya akan mengundi PN diterima UMNO dengan berlapang dada.

UMNO tegas dengan pendiriannya untuk bertanding atas tiket BN secara sendirian, katanya.

“Jelas sekali bahawa MN tidak mudah dioperasikan. Keputusan PAS bermakna MN itu hanya wujud pada nama, tidak pada semangatnya.

“Laungan MN demi perpaduan ummah hanyalah halwa telinga. Hakikatnya, dalam politik, pelbagai kepentingan lain adalah keutamaan,” katanya.

Menurut Khaled, dalam politik, tiada parti yang patut mencari keuntungan dari pelbagai pihak, dalam pelbagai keadaan dan pada setiap masa.

Justeru, keputusan PAS sebenarnya memberikan UMNO ruang dan peluang untuk kembali kepada BN yang sederhana, ‘multicultural’ dan progresif.

Malahan, ia tidak lagi terbelenggu dengan sesiapa, bebas mencorakkan jalan kehadapannya.

“Kerana UMNO sedar, jalan kemenangan ialah sokongan semua kaum dan bukan hanya Melayu. Kerjasama parti Melayu bukan satu-satunya jalan untuk menguasai kerajaan.

“Dalam politik yang sangat ‘disruptive’, kemenangan akan banyak bergantung kepada tawaran dasar yang lebih baik, kepimpinan yang lebih dinamik, rencana ekonomi yang lebih lestari dan rencam generasi muda yang mesti difahami.

“Jika hanya mencongak jumlah undi UMNO, PAS dan PPBM itu sebagai tanda aras kemenangan, maka sangatlah simplistik. Politik Malaysia bukan sebegitu simplistik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button