Berita UtamaDunia

AS kecam keras lawatan UAE ke Syria, gesa berhati-hati

Tak sokong usaha normalisasi hubungan dengan rejim Assad

WASHINGTON, 5 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Amerika Syarikat (AS) mengecam keras lawatan diplomat tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Damsyik, dan memberi amaran supaya negara itu  mempertimbangkan sebarang usaha menormalkan hubungan dengan rejim Syria.

Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed, pada Selasa mengetuai delegasi pegawai kanan Emirat ke Damsyik, di mana mereka diterima oleh Bashar Al-Assad – menandakan lawatan pertama seumpama itu sejak konflik Syria meletus pada 2011.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, pentadbiran Biden ‘prihatin’ dengan mesyuarat itu, serta ‘isyarat yang dihantarnya.’

“Pentadbiran ini tidak akan menyatakan sebarang sokongan terhadap usaha untuk menormalkan atau memulihkan Bashar Al-Assad, yang merupakan seorang diktator yang kejam,” kata Price kepada pemberita.

“Kami menggesa negeri di rantau ini mempertimbangkan dengan teliti kekejaman yang dilakukan rejim, terhadap rakyat Syria sejak sedekad lalu.

“Ini termasuk usaha berterusan rejim menafikan sebahagian besar negara itu mendapat akses bantuan kemanusiaan dan keselamatan,” katanya.

Price menegaskan AS tidak akan menormalkan atau meningkatkan hubungan diplomatiknya dengan Damsyik.

“Kami juga tidak menyokong negara lain menormalkan atau menaik taraf hubungan dengan mereka, memandangkan kekejaman yang telah dilakukan oleh rejim ini ke atas rakyatnya sendiri,” katanya.

Lawatan Bin Zayed itu dilaksanakan selepas lebih tiga tahun UAE membuka semula kedutaannya di Syria.

Pada Jun 2020, pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump memberi amaran kepada Abu Dhabi mengenai kesan normalisasi berterusan, dan kemungkinan menghadapi sekatan di bawah Akta Caesar, yang membenarkan sekatan menyeluruh ke atas rejim Assad.

Usaha normalisasi Arab dengan rejim Syria telah dipercepatkan sejak Julai, terutamanya di Jordan, UAE dan Mesir.

Sidang kemuncak Liga Arab seterusnya di Algeria pada Mac dijangka membincangkan memulihkan keahlian Syria, yang telah dibekukan sejak 2011 akibat keganasan rejim Assad terhadap rakyatnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button