Berita Utama

Kadar vaksin, standard pencegahan tinggi dorong Malaysia perkenal koridor perjalanan

Tahap vaksinasi Malaysia juga sangat tinggi dengan 98 peratus rakyat dewasa telah terima vaksin

JAKARTA, 5 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Malaysia mempunyai kadar vaksinasi dan standard pencegahan jangkitan COVID-19 yang tinggi untuk pastikan koridor perjalanan dengan Indonesia yang telah dirancang berjalan lancar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tahap vaksinasi rakyat Malaysia juga sangat tinggi dengan 96 peratus rakyat Malaysia dewasa telah menerima vaksin.

Kerajaan juga sedang dalam proses memberikan vaksin kepada golongan muda berumur antara 12 tahun dan 17 tahun yang setakat ini mencapai 65 peratus.

“Kita ada standard pencegahan yang agak tinggi untuk pastikan semua selamat,” beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan lima memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia di sini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan Indonesia yang mahu mengetatkan kemasukkan rakyat Malaysia ke Indonesia setelah kes Delta Plus dikesan di Malaysia.

Ismail Sabri yang berada dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia berkata, rakyat Malaysia yang keluar juga diwajib melengkapkan dua dos vaksin dan jalani swab test dengan keputusannya perlu negatif sebelum mereka dibenarkan berlepas.

Setibanya di Indonesia mereka akan di swab lagi dan hanya akan dibenarkan keluar dari hotel kuarantin jika keputusan negatif.

“Tidak perlu bimbang akan kemasukkan rakyat Malaysia ke Indonesia,” kata Ismail Sabri, sambil menambah inisiatif koridor perjalanan akan merangsang kembali industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik.

Dalam sidang media bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor tengah hari tadi, Ismail Sabri berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk laksanakan koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane, memandangkan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerjasama syarikat Malaysia dalam pembangunan ibu kota baru Indonesia di Kalimantan akan memberi impak positif kepada kedua-dua negara.

“Jika diberi peluang untuk melabur di Kalimantan kita akan dapat manfaat. Di Indonesia pula faedahnya adalah pembangunan,” jelasnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button