Berita Utama

Kerjasama PN hingga PRU15, bukan PRN Melaka saja

'Bila kita kata nak kekal, sudah pasti kita ada agenda'

AIR KEROH, 5 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Kerjasama antara semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tidak hanya terhad pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya, akan berlaku perbincangan lagi bagi meneruskan kesinambungan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara berkenaan diakui Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sambil menegaskan PN bukan bertanding setakat PRN Melaka.

Katanya, PAS menerusi kenyataan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri akan kekal bersama-sama PN.

“Apabila kita kata nak kekal, sudah pasti kita mempunyai agenda dan ideologi tertentu untuk menggabungkan semua parti, apa yang dibawakan ini diterima oleh semua dengan baik sekali.

“Dalam keadaan yang baharu ditubuhkan itu, kita pun sudah ada empat parti.

“InsyaALLAH akan ada lagi kerana sudah ada banyak parti-parti yang buat permohonan untuk bersama kita, cuma sejauh mana gabungan ini nanti dan ia harus diperhalusi,” katanya seperti dilapor portal media tempatan.

Beliau pada masa turut mahu memastikan apa tujuan dan matlamat parti yang mahu bersama PN.

Jelasnya, pada PRN Melaka, semua parti sudah memahami bahawa tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meletakkan calon di bawah satu lambang iaitu PN.

Situasi itu membuktikan, semua pemimpin di bawah PN merasakan gabungan ini mampu untuk meneruskan perjuangan ini.

“Kerana itu PN bukan hanya untuk PRN Melaka sahaja,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button