Berita Utama

‘Lahabau Melaka’ provokasi murahan, tempelak calon DUN Merlimau

Pembangkang selalu main sentimen politik ketika pilihan raya

JASIN, 5 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Kesilapan Ahli Parlimen Kulai (DAP), Teo Nie Ching menggunakan perkataan ‘lahabau’ dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menunjukkan sifat ahli politik itu yang tidak mengambil kira sensitiviti rakyat negeri Melaka.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Salleh mendakwa, situasi ini membuktikan bahawa pembangkang selalu memainkan sentimen politik murahan ketika berlakunya pilihan raya.

“Jadi ini menggambarkan inilah parti mereka… sebabnya provokasi murahan seperti ini, biasanya parti inilah yang biasa keluarkan provokasi,” katanya seperti dilapor UMNO Online.

Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Negeri Melaka berkata, pendekatan ini jelas berbeza daripada kempen yang dilakukan BN.

Terdahulu, Nie Ching menerusi Facebooknya memuat naik poster kempennya iaitu ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.

Bagaimanapun, beliau mengakui kesilapannya apabila menggunakannya tanpa memahami maksud sebenar di sebalik perkataan tersebut.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button