Makin tunjuk taring, apa kuasa Dong Jiao Zong desak tangguh pembelajaran Jawi
Jangan terlalu melampau melebihi orang Melayu sendiri

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 5 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Dong Jiao Zong makin melampau, terus bersikap tidak bertamadun apabila menggesa kerajaan menangguhkan segera pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).
“Apa kuasa yang dimiliki pertubuhan itu sehingga sanggup buat desakan supaya tangguhkan pembelajaran Jawi?
“Sangat melampaui batas, sedar tak mereka Jawi ini watan kepulauan Melayu. Tiada sikit pun istilah rasis.
Demikian tempelak Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mengulas permintaan tidak masuk akal Dong Jiao Zong.
Sebelum ini, pertubuhan radikal itu juga menggesa agar kandungan pembelajaran mengenai kepelbagaian budaya dimasukkan dalam buku teks Bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.
Kononnya, syor itu dibuat agar tulisan daripada etnik lain juga dapat diperkenalkan di samping tulisan Jawi.
Prof Murad berpandangan syor itu tidak sepatutnya berlaku kerana masyarakat Melayu sendiri selama ini sangat patuh dengan keputusan kerajaan.
Namun, golongan itu yang bukan penduduk asal semakin berani menunjukkan taring dengan meminta bermacam-macam.
“Seharusnya, sedar siapa diri mereka sebenar dan jangan terlalu melampau sehingga melebihi daripada orang Melayu sendiri.
“Malaysia ada peraturan, jangan buat sesuka hati perlu sedar dengan kedudukan,” katanya.
Pautan asal:
https://ismaweb.net/2021/11/08/dong-jiao-zong-gesa-pembelajaran-jawi-ditangguh-segera/