41 maut banjir besar di Sri Lanka
Hujan dijangka reda mulai Khamis, ribuan penduduk dipindah segera

COLOMBO, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Hujan lebat merentasi selatan India dan Sri Lanka mengorbankan sekurang-kurangnya 41 orang, kata pihak berkuasa.
Jabatan Meteorologi India meramalkan hujan sedikit hingga sederhana di kebanyakan kawasan terjejas, dengan banjir sekali-sekala di beberapa jalan dan kawasan rendah.
Rakan sejawat di negara jiran Sri Lanka berkata, hujan di sana dijangka reda mulai Khamis susulan tekanan rendah.
Hujan lebat yang melanda telah mengorbankan 25 orang di negara pulau Sri Lanka, kebanyakannya lemas, manakala tanah runtuh mencederakan lima yang lain, kata pihak berkuasa.
Kira-kira 16 orang terbunuh di Tamil Nadu, kata Menteri pengurusan bencana tempatan, KKSSR Ramachandran pada sidang akhbar.
Kebanyakan bahagian ibu negeri Chennai, yang juga pusat pembuatan kereta India dinaiki air.
Ribuan penduduk di kawasan rendah dipindahkan ke tempat selamat, kata pihak berkuasa.
Kebanyakan sekolah dan kolej di Tamil Nadu ditutup sementara beberapa perkhidmatan kereta api masih tergendala.
Monsun timur laut India biasanya berlaku dari Oktober hingga Disember, membawa hujan lebat terutamanya ke selatan. – Agensi