Berita Utama

Eksplorasi Negarawan #klikdijari perkasa jati diri bangsa

Pengunjung dapat melawat Arkib Memorial di hujung jari

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Lawatan ke Arkib Memorial “Eksplorasi Negarawan #klikdijari” secara maya, sebuah produk dan perkhidmatan baharu Arkib Negara mampu memperkasakan program kebudayaan bagi mengukuhkan jati diri bangsa.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berikutan pemahaman mengenai tokoh negarawan dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia dapat memberi kesedaran kepada generasi muda, masyarakat tempatan serta luar negara.

“Ini sekali gus dapat memberi kesedaran kepada generasi muda dan masyarakat untuk menjadi Keluarga Malaysia yang lebih setia dan patriotik kepada negara walau di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Eksplorasi Negarawan #klikdijari di sini.

Sehubungan itu, beliau berharap Arkib Negara dapat berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memperkenalkan produk itu sebagai projek rintis dan dimasukkan sebagai ko-kurikulum tambahan sama ada di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Selain itu, Nancy berkata lawatan secara maya Eksplorasi Negarawan #klikdijari itu adalah salah satu produk dan perkhidmatan yang dapat memberi impak dalam memperkasa ekosistem kebudayaan pintar melalui pelancongan arkib oleh Arkib Negara.

Melalui teknologi ini, beliau berkata pengunjung dapat melawat Arkib Memorial, milik Arkib Negara, di hujung jari tanpa perlu dibatasi prosedur operasi standard lawatan secara fizikal.

“Kita berhadapan dengan situasi (pandemik COVID-19) yang belum pernah terjadi sebelumnya dan memerlukan kita mengubah cara dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Oleh itu, syabas kepada Arkib Negara kerana mampu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi terkini dengan membangunkan produk berkonsepkan lawatan secara maya yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Produk lawatan maya ketika ini melibatkan enam Arkib Memorial iaitu Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba dan Pustaka Peringatan P Ramlee.

Pada fasa seterusnya, Arkib Negara akan meneruskan pembangunan lawatan maya kepada lima Arkib Memorial lagi iaitu Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Galeria Seri Perdana, Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad, Rumah Merdeka serta Rumah Kelahiran P Ramlee.

Orang ramai boleh menyertai lawatan maya Eksplorasi Negarawan #klikdijari secara percuma di laman sesawang rasmi Arkib Negara di www.arkib.gov.my serta boleh diakses melalui imbasan kod respon pantas (QR) yang disiarkan di platform media sosial rasmi Arkib Negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button