Berita UtamaDunia

Jerman gesa rakyatnya tinggalkan Ethiopia segera

Konflik semakin memuncak, rakyat Jerman diminta guna penerbangan komersial

BERLIN, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kerajaan Jerman, hari ini menyeru rakyatnya meninggalkan Ethiopia berikutan konflik ganas yang semakin memuncak di negara Afrika Timur itu.

Rakyat Jerman harus menggunakan penerbangan komersial sedia ada untuk meninggalkan negara itu, kata Kementerian Luar dalam amaran perjalanan di laman webnya.

Amaran itu, yang sebelum ini hanya digunakan untuk sesetengah kawasan krisis, telah diperluaskan ke seluruh negara.

Konflik antara kerajaan di Addis Ababa dan pemberontak dari wilayah utara Tigray telah mencengkam lebih banyak bahagian negara sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan pelbagai pihak terlibat dalam pertempuran sengit.

“Tidak boleh dinafikan bahawa pertempuran akan bertambah hebat dan menjangkau wilayah lain di negara ini, termasuk ibu negara Addis Ababa,” kata Kementerian Luar.

Pada 2 November, Ethiopia mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Keputusan itu susulan mesyuarat luar biasa Majlis Menteri, di tengah-tengah pertempuran yang semakin memuncak antara tentera kerajaan dengan pemberontak Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) dan Tentera Pembebasan Oromo-Shene (OLA-Shene).

Sejak beberapa minggu lalu, pejuang TPLF memperoleh keuntungan, menawan wilayah baharu dan bandar strategik jauh di kawasan Amhara dan Afar.

Pada 29 Jun, kerajaan Ethiopia mengisytiharkan gencatan senjata unilateral dan menarik keluar tenteranya dari Tigray, membolehkan pasukan pemberontak mara ke Amhara dan Afar yang berjiran.

Berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang telah memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan yang akan berlaku. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button