Berita Utama

Kedah lulus peruntukan RM2.07 juta baiki infrastruktur rosak akibat banjir

Fenomena kepala air di sekitar Bukit Wang tiada kaitan isu pembalakan

ALOR SETAR, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kerajaan Negeri Kedah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.07 juta bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat kejadian banjir di beberapa daerah di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan yang diluluskan semalam itu adalah untuk membaiki infrastruktur penting yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri bagi menjamin keselesaan rakyat.

“Kita baiki yang penting-penting dahulu…contohnya macam ada titi patah atau jalan terputus akibat banjir, kita akan baiki dengan segera. Benda lain kita tunggu air surut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Executive Talk Perundangan Perancangan’ sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 peringkat negeri di sini hari ini.

Program itu bertujuan memberikan informasi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perancangan dalam usaha memacu, menggalakkan serta mengawal pembangunan di kawasan PBT.

Sementara itu ketika ditanya berhubung fenomena kepala air di kawasan peranginan sekitar Bukit Wang di Jitra, Muhammad Sanusi berkata, kejadian itu tiada kaitan dengan isu pembalakan berikutan tiada sebarang aktiviti pembalakan dilakukan di kawasan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button