Berita Utama

PRN Melaka: Menang dulu baru PN umum siapa Ketua Menteri

Manifesto PN akan diumum dalam tempoh terdekat

MELAKA, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Setakat hari ini, Perikatan Nasional (PN) masih belum menamakan calon Ketua Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Meskipun perbincangan mengenainya telah berlangsung, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, fokus PN kini untuk menang pada PRN dan kemudiannya memutuskan mengenai calon terbabit.

“Di peringkat PN, fokus kita untuk menang PRN dan kemudian baru kita akan bincang dan umumkan. Kita serahkan urusan penamaan calon ini untuk dibincang di peringkat pimpinan tertinggi.

“Perbincangan (berkaitan calon Ketua Menteri) sebenarnya sudah berlaku dan kita sudah ada idea siapakah akan dinamakan, biarlah ia diumumkan oleh pimpinan tertinggi,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan calon Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga penyandang kerusi DUN Lendu.

Sementara Pakatan Harapan (PH) pula menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari sebagai calonnya.

Mengenai pembentangan manifesto PN, Wan Saiful berkata, ia akan diumum dalam tempoh terdekat.

“Kita akan umumkan aku janji kita beberapa hari lagi. Kita tawarkan daripada gabungan ini, atas tawaran itu kita yakin akan ada kestabilan dan kemakmuran yang boleh dikongsikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button