Berita Utama

PRN Melaka: Tak ada parti bersungguh perjuang agenda Bumiputera, Melayu

Pengundi perlu buat perubahan pilih parti baru atau calon Bebas

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Tidak ada satu parti pun hari ini yang secara serius dan bersungguh memperjuangkan agenda Bumiputera, Melayu dan agama Islam.

Tidak dinafikan kemungkinan konsep itu ada, tetapi dari implimentasinya tidak nampak apa-apa, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

“Sebab itu hari ini kita tengok ekuiti semakin menurun, agama kita semakin menekan dan tidak ada satu tindakan pun.

“Kita tengok orang yang menentang Islam contoh dulu Tanjung Piai – yang jelas menentang Islam – tetapi diangkat oleh parti berkenaan sama ada yang berteraskan Melayu mahupun Islam.

“Jadi terus terang saya katakan macam tidak ada harapan bagi saya pada parti-parti yang ada ini. Mereka sekadar retorik dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Dimensi yang bertajuk Melaka Mengundi: Apa Bumiputera Mahu? yang disiarkan secara langsung menerusi TV Pertiwi, malam ini.

Menjawab persoalan sama ada calon PRN Melaka dari kalangan Bumiputera memiliki integriti, Haji Aminuddin mengakui walaupun calon itu mungkin bagus dari segi kelayakan dan semangatnya, namun mereka masih tertakluk kepada parti dan sistem demokrasi iaitu akan dipilih berdasarkan pada undi.

“Selagi itu berlaku, maka mereka akan ‘entertain’ semua orang dan selalunya yang akan menjadi aniaya adalah orang Melayu.

“Sebab itu bagi saya politik kepartian ini perlu diubah kepada politik kenegaraan,” katanya.

Menurut Pengerusi PEMBELA itu, politik kepartian menghancurkan banyak perkara dalam negara ini.

Bahkan beliau tidak yakin bahawa parti politik hari ini boleh membawa agenda Bumiputera dan Melayu.

Justeru, Haji Aminuddin mengesyorkan rakyat Melaka memulakan perubahan secara serius iaitu sama ada memilih parti baru atau calon Bebas.

“Perubahan perlu berlaku secara radikal dan berani. Kalau memilih apa yang ada hari ini, saya berasa orang Melaka akan terus malang.

“Mereka berdepan kemiskinan, duduk dipinggir kampung dan sebagainya,” katanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/631076084567997/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button