Berita UtamaIstimewa

Tiba masa tolak calon wakil rakyat tak hormat bahasa kebangsaan

UEC jelas penyumbang utama sikap tidak fasih bahasa Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Calon wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu wajar ditolak lebih awal oleh pengundi dan pihak berwajib kerana boleh dianggap bersikap negatif serta tidak menghormati bahasa negara dan Rukun Negara.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani menegaskan, pihak tersebut sepatutnya menjadi contoh berbahasa Melayu tinggi yang baik dan sopan, tidak bercampur-aduk dengan bahasa Inggeris yang menggambarkan otak yang kacau-bilau.

Beliau tidak menolak kemungkinan semua ini hasil adunan sikap tidak hormat serta tak ambil endah untuk mahir bahasa kebangsaan terutama mereka yang datang dari sekolah vernakular dan lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Jelas ini juga antara penyumbang utama sikap tidak fasih akan bahasa kebangsaan yang perlu diteliti oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan.

“Perkara ini bukanlah baharu. Banyak video sebelum ini pun menularkan wakil rakyat, malah menteri yang tidak fasih berbahasa Melayu di samping seorang dua yang fasih.

“Terburu-buru pun disebut ‘terbulu-bulu’. Jika diperhatikan siaran Dewan Rakyat, boleh dilihat banyak juga wakil rakyat yang tidak fasih berbahasa Melayu. Semasa berbahasa Inggeris lancar pula,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyediakan modul khas bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa untuk semua wakil rakyat serta menteri yang bahasa Melayunya tidak fasih atau kucar-kacir.

Terdahulu, tular video calon muda dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Leong Hui Ying yang tidak boleh menjawab soalan yang diutarakan dalam bahasa kebangsaan.

Menerusi video tular di laman sosial, Hui Ying dilihat tergagap untuk menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan berkenaan tema BN pada PRN kali ini iaitu ‘Kestabilan Demi Kesejahteraan’.

Dia turut disoal mengenai pandangannya sebagai calon muda untuk bersaing dengan senior politik.

Bagaimanapun, Hui Ying dilihat teragak-agak memberikan jawapannya, sehingga perlu mendapatkan bantuan daripada orang lain untuk memberikannya idea jawapan.

Hui Ying yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pertuturan (Shih Hsin University, Taiwan) itu akhirnya secara ringkas menjawab ‘I will try my best’ setelah dibantu.

Berdasarkan maklumat diperoleh Ismaweb.net, Hui Ying merupakan lulusan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – Pay Fong High School – yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak diiktiraf di Malaysia, sebelum melanjutkan pelajaran di Taiwan.

Namun dalam video balas terbaharu, Hui Ying menafikan dakwaan dia tidak pandai berbahasa Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button