Berita UtamaIstimewa

Tiada kerajaan bagi UMNO jika bergerak solo pada PRU15

Parti Melayu perlu mengorak langkah sokong satu sama lain

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – UMNO diyakini tidak akan mampu bergerak solo untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Melainkan parti itu meneruskan kesepakatan dengan PAS, pada masa sama menilai kembali untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagof.

Katanya, tindakan itu akan menampakkan UMNO lebih relevan daripada masa sekarang.

“Parti-parti Melayu perlu mengorak langkah menyokong satu sama lain untuk menguatkan agenda politik orang Melayu.

“Ini supaya orang Melayu tidak tercicir daripada perbalahan politik tanah air pada hari ini ataupun akan datang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau berkata, parti-parti politik Melayu tidak harus bersikap konservatif sebaliknya optimistik menerima perubahan serta perkembangan semasa dalam arena politik di negara ini.

Antaranya mengambil kira masyarakat bukan Melayu sebagai salah satu komponen yang akan menyokong kerajaan selepas PRU akan datang, katanya.

“Kalau kita perhatikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada melancarkan mengenai Keluarga Malaysia.

“Itu merupakan satu petanda bahawa perlu wujudnya satu hubung kait kerjasama antara kaum bukan saja kaum Melayu.

“Jika parti masih meneruskan untuk mengutamakan masyarakat Melayu dalam menjayakan agenda politik mereka, ia tidak akan mencapai apa yang dimatlamatkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button