Berita UtamaDunia

5 sekeluarga maut serangan udara Russia di Syria

Mangsa korban termasuk kanak-kanak berusia 1 dan 2 tahun

BEIRUT, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Sekurang-kurangnya lima sekeluarga terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara terbaharu Russia di barat laut Syria.

Pertahanan awam yang turut dikenali sebagai ‘White Helmet’ berkata, beberapa serangan udara melanda Ladang Brouma, utara bandar Idlib, semalam.

Mangsa yang maut termasuk pasangan suami isteri, dua orang anak mereka berusia satu dan dua tahun serta sepupu yang berusia lapan tahun, katanya.

Keluarga itu telah dipindahkan dari bahagian lain di Syria.

Bercakap kepada Al Jazeera, sukarelawan pertahanan awam, Mohammad Sheikh Ahmad berkata, enam yang lain cedera dalam serangan udara pada pagi Khamis.

“Ia mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat dari runtuhan, membawa mangsa yang cedera ke hospital dan mengosongkan kawasan itu.

“Kami menghadapi kesukaran kerana pesawat peninjau Russia mengelilingi kawasan berkenaan,” katanya.

Serangan udara itu berlaku di tengah-tengah ketegangan memuncak di kubu terakhir pemberontak di barat laut Syria, di mana gencatan senjata yang dicapai pada Mac tahun lalu telah berulang kali dilanggar.

Gencatan senjata itu, dirundingkan antara Turki – yang memihak kepada pembangkang Syria – dan Russia – penyokong antarabangsa utama kerajaan Syria – menamatkan serangan kerajaan yang menghancurkan di barat laut Syria.

Kawasan itu adalah lokasi terakhir pemberontak di negara tersebut dan menempatkan ratusan ribu orang pelarian.

Kerajaan Syria telah berjanji untuk memulihkan kawalan ke atas wilayah yang hilang ketika konflik 10 tahun, yang bermula pada Mac 2011.

Sepanjang 10 tahun yang lalu, sejak pemberontakan Syria pada 2011 yang memuncak menjadi perang ganas dan pelbagai rupa, ratusan ribu orang terbunuh bahkan jutaan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka, selain infrastruktur negara turut musnah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button