Dunia

COVID-19: PM Korea Selatan mohon maaf langgar peraturan majlis keraian

'Saya berjanji akan memastikan perkara itu tidak berulang lagi'

SEOUL, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Perdana Menteri Korea Selatan Kim Boo Kyum pada Jumaat mengemukakan permohonan maaf kerana melanggar peraturan penjarakan sosial COVID-19 ketika mengadakan majlis keraian bersama alumni kolejnya minggu lepas.

“Saya memohon maaf. Saya berjanji akan memastikan perkara itu tidak berulang lagi,” katanya dalam satu mesyuarat penyelarasan hal ehwal dalam negeri.

Menurut Agensi Berita Yonhap, Kim dikecam selepas media melaporkan seramai 11 orang termasuk Kim menghadiri majlis makan tengah hari di kediaman perdana menteri itu di Seoul pada Sabtu lalu.

Ia dikatakan telah melanggar peraturan perhimpunan persendirian kerajaan yang hanya membenarkan penyertaan tidak melebihi 10 orang.

Kerajaan sebelum ini menaikkan had kehadiran tetamu dalam perhimpunan persendirian kepada 10 orang bermula 1 November di bawah skim “hidup bersama COVID-19”.

Menurut penjelasan pejabat perdana menteri jamuan tengah hari itu sepatutnya dihadiri hanya 10 orang tetapi seorang daripada tetamu membawa isterinya.

“Saya tidak boleh menyuruh isteri kawan saya meninggalkan majlis itu, tetapi apa pun alasannya, memang benar saya telah melanggar peraturan,” kata Kim. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button