Berita UtamaDunia

Tahanan Palestin akhiri mogok lapar selepas 113 hari

Penjara Israel bersetuju bebaskan al-Qawasmi selepas pusingan dialog panjang dan sukar

GAZA, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Seorang tahanan Palestin – yang ditahan pada Januari lepas – mengakhiri mogok lapar selama 113 hari selepas pihak berkuasa penjara Israel bersetuju untuk membebaskannya pada Februari depan, lapor Pusat Maklumat Palestin.

Pengarah Pejabat Penerangan Tahanan, Nahid Al-Fakhouri mengumumkan bahawa persetujuan telah dicapai untuk membebaskan Miqdad al-Qawasmi, selepas ‘pusingan dialog yang panjang dan sukar dilakukan oleh Jawatankuasa Kepimpinan Tinggi Tahanan Hamas’.

Ketua jawatankuasa, Salama al-Qatawi dan pegawai hal ehwal luar badan itu ‘bertemu tahanan berani Miqdad al-Qawasmi dan memberi jaminan mengenai kesihatannya’, katanya.

Jurucakap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Hazem Qassem memuji perjanjian itu sebagai ‘kemenangan’.

Al-Qawasmi melancarkan mogok lapar sebagai membantah penahanan pentadbirannya yang berterusan – tanpa pertuduhan atau perbicaraan – yang diperbaharui Khamis lalu dan dia diarah dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Kaplan ke Klinik Penjara Ramle.

Menurut pegawai keselamatan Israel, penahanan al-Qawasmi ‘berasaskan kepada risikan yang dikemukakan kepada mahkamah’ berhubung penglibatannya dalam aktiviti yang dikaitkan dengan Hamas.

Berat badan al-Qawasmi susut hampir separuh sejak 21 Julai, apabila dia mula menolak makanan dan hanya minum air dengan garam, kata keluarganya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button