Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tommy Thomas, 12 lain mohon batal saman Sundra Rajoo berhubung pendakwaan salah

Permohonan dibuat berkaitan kes pecah amanah wang AIAC

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain memohon untuk membatalkan saman difailkan bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Prof N. Sundra Rajoo terhadap mereka berhubung penahanan dan pendakwaan salah berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

Sundra Rajoo selaku plaintif turut menamakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull; beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li; Mohd Adrian Zaiman Zainiar; Md Yusrin Md Yusof; Mohd Fadhly Mohd Zamry; T. Nesavan; G. Sharan Raj; Hasmizzy Md Hasim; Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Berdasarkan notis permohonan pembatalan saman yang difailkan pada 5 Nov lalu, kesemua defendan mendakwa pernyataan tuntutan plaintif mendedahkan kausa yang tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail hari ini, mahkamah menetapkan 3 Jan 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Menerusi pernyataan tuntutan, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah ditahan oleh Mohd Adrian dan Md Yusrin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang, 21 Nov 2018 atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas dan mendakwa penahanannya itu telah melanggar undang-undang di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Sundra Rajoo mendakwa Mohd Adrian dan Md Yusrin menahannya walaupun beliau telah memberitahu mereka bahawa beliau telah diberikan keistimewaan dan kekebalan seperti yang diberikan kepada seseorang ejen diplomatik berkenaan dengan tindakan dan perkara yang dilaksanakan dalam kapasitinya sebagai pegawai tinggi.

Plaintif mendakwa ini adalah kerana berdasarkan kedudukannya sebagai pengarah AIAC (ketika itu), beliau merupakan seorang pegawai tinggi dalam tafsiran Peraturan-Peraturan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur 1996 (Peraturan-Peraturan AIAC) yang dibuat di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 (Akta 485).

Selain itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau juga telah direman dan disingkirkan secara paksa dari jawatannya sebagai pengarah AIAC selain mendakwa akibat daripada penahanan itu, beliau telah dicemuh dan reputasinya turut terjejas.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh ke atas semua jumlah yang diperintahkan, kos atau perintah lanjutan yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button