Berita UtamaDunia

Gaza ‘jalani penyahindustrian’ akibat kepungan Israel

Ekonomi negara sangat sukar dengan pengangguran tinggi

GAZA, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Bank Dunia dalam laporan minggu ini memberi amaran bahawa Gaza masih berdepan ‘keadaan ekonomi yang sangat sukar, dengan masalah pengangguran tinggi dan keadaan sosial semakin merosot.’

Laporan itu mengetengahkan cabaran kritikal dihadapi ekonomi Palestin secara am dan lebih khusus prestasi ekonomi serta keperluan pembangunan Gaza, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc (AHLC) di Oslo pada 17 November ini.

Meskipun Tebing Barat yang diduduki mengalami ‘lantunan’ berikutan pandemik dan sekatan berikutnya, “Ekonomi masih mengalami sekatan ke atas pergerakan, akses dan perdagangan – halangan terbesar kepada pelaburan dan akses kepada pasaran,” kata Pengarah negara Bank Dunia untuk Tebing Barat dan Gaza, Kanthan Shankar.

“Prestasi ekonomi yang bertambah baik di dorong sepenuhnya oleh Tebing Barat manakala ekonomi Gaza kekal hampir tidak berubah akibat konflik 11 hari pada Mei,” kata Bank Dunia.

Katanya lagi, situasi fiskal Pihak Berkuasa Palestin (PA) ‘kekal sangat mencabar’, dengan potongan hasil cukai bulanan Israel menambah ‘tekanan fiskal.’

Ini bermakna ‘PA mungkin menghadapi kesukaran dalam memenuhi komitmen berulangnya menjelang akhir tahun’.

Sumbangan Gaza kepada keseluruhan ekonomi Palestin, jelasnya, ‘dipotong separuh dalam tempoh tiga dekad yang lalu, mengecil kepada 18 peratus pada masa ini’ akibat pengepungan 15 tahun Israel di kawasan tersebut.

Gaza juga ‘menjalani penyahindustrian’ dan ekonominya sangat bergantung kepada pemindahan luar.

“Langkah keutamaan memerlukan peningkatan bekalan elektrik dan menaik taraf infrastruktur dan rangkaian bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan perkhidmatan awam,” katanya.

Laporan itu – yang butirannya dikeluarkan pada Selasa – menambah amaran yang dikeluarkan semalam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, keadaan kewangan di wilayah Palestin adalah ‘mengerikan’.

Laporan penuh PBB juga akan diumumkan di Oslo minggu depan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button