Berita Utama

JKDM patah cubaan seludup pelbagai jenis minuman keras bernilai RM20 juta

627,510 liter minuman keras dirampas pada 21 dan 27 September serta 8 November lepas

PELABUHAN KLANG, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM20 juta termasuk duti/cukai menerusi tiga serbuan di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah pada September dan awal bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Malaysia Datuk Abdul Wahabi Abdullah berkata serbuan yang merampas kira-kira 627,510 liter minuman keras itu dijalankan di sekitar Pelabuhan Barat pada 21 dan 27 September serta 8 November lepas.

Abdul Wahabi berkata menerusi serbuan pada 1.15 tengah hari, 21 September lepas, Unit II Selangor telah membuat serbuan ke atas sebuah gudang di PKFZ membabitkan kuantiti rampasan 494,373 liter arak dan bir yang belum lulus Kastam dengan nilai termasuk duti/cukai dianggarkan sebanyak RM18.54 juta.

“Bagi kes kedua, pihak JKDM telah membuat serbuan ke atas sebuah gudang pada 27 Sept lalu kira-kira 12.30 tengah hari dan hasil semakan daripada rekod pengimportan, pihak syarikat telah mengikrar enam buah kontena bermuatan minuman keras (arak dan bir) namun pemilik lesen gagal membuktikan keberadaan dagangan yang (diikrar) diimport.

“Susulan itu JKDM merampas 101,592 liter minuman keras membabitkan nilai termasuk duti/cukai dianggarkan RM2.11 juta dan Kastam turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an di premis itu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah, di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang 8 Nov lepas, Abdul Wahabi berkata pasukan JKDM Unit II telah menahan tiga kontena yang pihak pengimport dagangan mengemukakan permit import yang tidak sepadan dengan kelulusan semasa pengikraran.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena berkenaan menemukan pelabagai jenis minuman keras dipercayai belum lulus Kastam dan kami merampas kira-kira 31,545 liter minuman keras (wain) dengan nilai termasuk duti/cukai dianggarkan RM1.59 juta,” katanya.

Abdul Wahabi berkata kes pertama dan kes ketiga disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 manakala kes kedua pula disiasat di bawah Akta Zon Bebas 1990.

Dalam sidang media yang sama, Abdul Wahabi berkata pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit 1 (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) telah mematahkan cubaan mengimport logam titanium yang diisytiharkan sebagai barang dagangan dalam Bil Muatan, seberat kira-kira 25.07 tan metrik dengan anggaran nilai sitaan termasuk cukai berjumlah RM3.52 juta pada 27 Okt lepas.

Abdul Wahabi berkata logam itu ditemukan melalui pemeriksaan sebuah kontena di hadapan sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang kira-kira 12 tengah hari oleh JKDM bersama antaranya Institusi Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

“Hasil pemeriksaan dokumen dan fizikal mendapati pengimportan tersebut melanggar peraturan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perdagangan Strategik 2010 iaitu mengeksport, memindahkan atau membawa dalam transit barang strategik tanpa permit yang dikeluarkan di bawah akta ini,” katanya.

Titanium yang boleh digunakan dalam pembuatan komponen peralatan pertahanan itu dipercayai berasal dari sebuah negara Asia yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat pemunggahan sebelum dihantar ke negara lain, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button