Berita UtamaDunia

Kekurangan nutrisi, 3.2 juta kanak-kanak Afghanistan berdepan risiko mati

Suhu sejuk sebabkan kanak-kanak dan warga emas terdedah penyakit kritikal

GENEVA, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kira-kira 3.2 juta kanak-kanak di Afghanistan berdepan masalah kekurangan nutrisi yang kritikal menjelang akhir tahun ini dengan anggaran sejuta daripadanya berisiko meninggal dunia.

Lebih memburukkan keadaan apabila faktor cuaca sejuk melanda terutama pada waktu malam yang menyaksikan suhu menurun secara mendadak.

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris berkata, amaran itu dikeluarkan agensi bantuan melibatkan masalah kebuluran akibat kemarau susulan pengunduran kuasa Barat selepas Taliban mengambil alih negara berkenaan.

Malah, sektor kesihatan menerima kesan yang teruk dengan ramai petugas terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka kerana tidak dibayar gaji.

“Ia adalah satu perjuangan yang sukar kerana kebuluran mencengkam negara dan dunia tidak boleh meminggirkan Afghanistan,” katanya.

Katanya lagi, suhu pada waktu malam sehingga sifar darjah Celsius dan keadaan itu dijangka menyebabkan kanak-kanak serta warga emas akan terdedah kepada penyakit.

Lebih menyedihkan apabila orang ramai terpaksa menebang pokok untuk dijadikan sumber bahan api di hospital.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, pihaknya tidak memiliki data sebenar jumlah kematian kanak-kanak akibat kekurangan nutrisi namun memberitahu hospital dipenuhi dengan golongan berkenaan dari bayi berusia tujuh bulan.

Malah, kes demam campak turut meningkat di negara berkenaan dan berdasarkan data WHO dan sebanyak 24,000 kes direkodkan setakat ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button