Berita Utama

MAFI, KPDNHEP tubuh jawatankuasa bersama stabil harga baja dan racun

Petani alami masalah berkenaan sejak COVID-19

PUTRAJAYA, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan satu jawatankuasa bersama dalam menangani isu kenaikan harga baja dan racun.

Dalam satu kenyataan bersama, MAFI dan KPDNHEP memaklumkan usaha bersepadu itu bertujuan meneliti tindakan dan kaedah penyelesaian lain bagi membantu petani serta pengusaha kecil yang berdepan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak sejak pandemik COVID-19.

“Baja dan racun makhluk perosak adalah input pertanian dan komponen penting dalam pengeluaran hasil tanaman berkualiti dan selamat dimakan oleh penduduk Malaysia.

“Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah diimport dari negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat dan kalium,” menurut kenyataan bersama kedua-dua Menteri di kementerian terbabit Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan dan pemain industri, antara punca dikenal pasti berhubung isu tersebut adalah perubahan polisi dari negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran.

“Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk tersebut,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, beberapa cadangan penyelesaian telah dikenal pasti dan diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam supaya isu ini dapat ditangani secara menyeluruh dan holistik di samping membantu golongan terjejas.

“MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button