MCA cuba normalisasi LGBT di Malaysia?
BERJASA ingatkan MCA jangan sesekali permain Perlembagaan negara

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Tindakan pemimpin MCA membela golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) dipercayai merupakan cubaan untuk menormalisasikannya di negara ini.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan, sekiranya perkara itu tidak dibendung dibimbangi lambat laun negara terpaksa mengiktiraf golongan berkenaan.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengapa parti berteraskan kaum Cina itu begitu ghairah bercakap tentang LGBT sejak kebelakangan ini.
“Mereka cuba membawa pengiktirafan LGBT dari sudut nilai kemanusiaan yang sempit dan songsang di negara kita.
“Nampaknya MCA cuba membawa agenda normalisasi LGBT dan memaksa negara Malaysia mengiktiraf golongan LGBT ini,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sehubungan itu, Ustaz Zamani mengingatkan MCA supaya jangan sesekali cuba mempermainkan Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan menolak golongan LGBT.
“Menghormati Islam sebagai agama Persekutuan bukan sekadar memakai songkok atau berbaju kurung apabila turun ke kawasan majoriti Melayu, MCA mesti turut mempertahankan apa jua fahaman dan agenda yang bercanggah dengan ajaran dan nilai Islam itu sendiri,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia terutama orang Melayu supaya tidak menjadi lidah kepada kumpulan songsang ini.
“Kita inginkan Malaysia ini berada ditahap yang baik, tiada mana-mana bangsa yang normal boleh bersetuju dan mengiktiraf golongan LGBT.
“Bagi pemimpin parti yang normal, pasti akan bercakap tentang soal rawatan kepada golongan tersebut, bagaimana dan apa pendekatan rawatan bagi memulihkan mereka.
“Kalau pemimpin MCA melihat sebaliknya, maka bukan golongan LGBT sahaja perlu kepada rawatan bahkan mereka juga perlu menerima rawatan,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan, agar semua pihak memahami isu komuniti LGBT melalui sains serta teknologi, dan bukannya hanya menyalahkan Barat semata-mata.
“Menyentuh mengenai nilai-nilai Barat, saya rasa budaya ini wujud di mana-mana kerana ia adalah nilai kemanusiaan atau kemasyarakatan.
“Perlulah kita memahami dan mengkaji, apakah punca masalah di sebaliknya dan bukannya menyalahkan kepada pengaruh Barat. Saya rasa kita perlu meneliti psikologi, fizikal dan sebagainya,” katanya.