Berita Utama

Hujan sejak 2 petang, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat

Bomba bantu pindah mangsa terperangkap banjir di Jalan Gurney

KUALA LUMPUR, 22 Muharram 1442H, Khamis – Lima kawasan di sekitar ibu negara hari ini, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 2 petang.

Kawasan yang terjejas adalah Lebuh Ampang; Jalan Raja Alang di Kampung Bharu, Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5, Taman Ayer Panas dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak.

Menurut Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, air naik setinggi tiga meter dari paras jalan raya.

Beberapa kereta dilaporkan terperangkap dalam banjir kilat di Lebuh Ampang, berhampiran stesen LRT Masjid Jamek.

Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan antara jam 4.25 hingga 5.26 petang.

“Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Setapak dan Keramat membabitkan 17 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, di Jalan Gurney, 10 mangsa dilaporkan terperangkap dalam banjir kilat sementara anggota bomba dan penyelamat berada di lokasi membantu memindahkan mereka.

Terowong Smart juga ditutup untuk mengaktifkan sistem banjir kilat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button