Berita Utama

Nama Timah di botol minuman keras dikekalkan

Pengeluar hanya perlu masukkan label tambahan bagi jelaskan nama berkenaan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kabinet membuat keputusan untuk mengekalkan nama Timah di pasaran dan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corporation (M) Sdn Bhd menggunakannya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebenaran itu bersyarat yang memerlukan syarikat pengeluar memasukkan label tambahan pada minuman keras berkenaan bagi menjelaskan nama itu sebenarnya tidak merujuk kepada bijih timah, seperti diusulkan oleh syarikat itu sendiri.

“Saya sudah membuat pertemuan dengan syarikat pengeluar tersebut dan berbincang bagaimana kita boleh tangani masalah ini.

“Saya kemudian membawa usul syarikat itu ke Kabinet dan Kabinet bersetuju dengannya,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily.

Keputusan itu dibuat setelah Alexander memaklumkan, bahawa Winepak bersedia menukar nama dan imej pada label produk namun memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham serta lembaga pengarah pada 28 Oktober lalu.

Alexander pada masa sama turut memberi jaminan bahawa Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Bulan lalu, jenama arak Timah menjadi kontroversi apabila namanya seperti merujuk kepada nama anak Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah, manakala lelaki yang dipaparkan di botol arak itu seperti menggambarkan seorang lelaki Islam kerana berjanggut dan memakai kopiah.

Bagaimanapun syarikat berkenaan menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan Timah itu hanyalah merujuk kepada bijih timah dan lelaki yang dipaparkan itu sebenarnya merujuk kepada Kapten Tristram Speedy, seorang penjelajah British abad ke-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button