Patuh SOP keselamatan elak tragedi murid digilis berulang: iGuru
Harap kes disiasat secara adil untuk kebaikan semua pihak

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Insiden kemalangan membabitkan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun yang meninggal dunia selepas digilis sebuah van di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang wajar diambil iktibar semua pihak.
Sebelum ini, tular di media sosial video seorang kanak-kanak perempuan digilis sebuah van ketika sedang melintas jalan.
Dalam video yang dirakam melalui kamera litar tertutup itu memaparkan, mangsa lengkap berpakaian seragam sekolah dan memakai beg berwarna merah jambu melintas jalan sebelum dilanggar sebuah van berwarna putih.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati van berkenaan menghantar murid-murid ke sebuah tadika yang dijadikan transit, sebelum ke Kelas Fardu Ain (KAFA).
Bagi memastikan insiden sama tidak berulang, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan menggesa setiap pemandu mengutamakan keselamatan para penumpang.
“Semua pemandu perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan untuk mengelak kejadian seperti ini berulang.
“Utamakan keselamatan para penumpang dan memastikan aspek SOP diikuti,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya berharap satu siasatan yang adil berhubung kes ini untuk kebaikan semua pihak.