Berita Utama

Umat Islam perlu peka sensitiviti agama meski sekadar isu kecil

Bukan rasis bersuara mengenai bangsa sendiri jika tak libat kaum lain

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Syaaban 1444H, Isnin – Umat Islam perlu lebih sensitif dan tegas bersuara terhadap sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, meskipun pada awalnya hanya sekadar isu kecil.

Bekas Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan berkata, isu kecil berkemungkinan boleh menjadi besar sekiranya umat Islam gagal peka untuk bersuara dan mempertahankannya.

Merujuk beberapa insiden baru-baru ini, beliau berkata, jika tiada pihak yang menentang dan mensensasikannya, dibimbangi isu bertentangan norma bakal menjadi sesuatu yang biasa kepada masyarakat.

“Mengambil contoh perhimpunan LGBT sempena Hari Wanita, memang tidak ramai yang terlibat (dalam perarakan), tetapi disebabkan ia disensasikan maka ia menjadi besar.

“Jadi, kalau kita tidak ada satu tindakan segera untuk tekankan isu ini, orang akan nampak perkara ini normal,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu yang tercetus kebelakangan ini membabitkan sensitiviti agama Islam, termasuk perhimpunan ‘Women’s March Malaysia 2023’ dan program ‘Jom Ziarah Gereja’, baru-baru ini.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan umat Islam untuk lantang dan sensitif dengan isu-isu membabitkan agama Islam, supaya terus memberikan pengajaran serta panduan kepada masyarakat.

“Isu ini memang isu sensitif sebab kita berada dalam sebuah negara majmuk, tetapi kemajmukan itu tidak sekata.

“Ini kerana kalau kita tengok orang Melayu Islam lebih jauh besar berbanding masyarakat lain, kita bukan sebenarnya majmuk yang tidak ada majoriti, kita majoriti Melayu Islam dan sepatutnya tiada isulah,” katanya.

Selaras dengan itu, Dr Mohd Kamsani berkata, ISMA berpegang kepada asas bahawa Malaysia negara asalnya adalah Melayu dan budaya yang dikedepankan juga budaya Melayu.

“Maka, bila kita kata berkenaan bangsa Melayu, kita bukan rasis. Kita sebenarnya mengembalikan negara ini kepada akarnya.

“Jadi benda itu konsisten dan kita tidak melibatkan bangsa lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button