Berita Utama

Pemimpin UMNO tolak dakwaan BN, PN bergabung pada PRU15

Dakwa kenyataan Khalid Samad sebagai propaganda, imaginasi

BANGI, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat ramalan Barisan Nasional (BN) bakal bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Andaian yang disuarakan oleh Khalid Samad itu dibuat menerusi forum dalam talian, baru-baru ini sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Namun, ramalan yang dibuat Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam ditolak oleh dua pemimpin UMNO dan menyifatkan pandangan itu sekadar imaginasi.

“Ini hanya imaginasinya,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin seperti dilapor portal FMT, hari ini.

Turut senada dengan beliau, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi yang menyifatkan pandangan Khalid itu sekadar ‘propaganda’ cetek yang bukan berdasarkan fakta.

Nizham menegaskan lebih penting untuk gabungan itu membuktikan komitmennya menjaga kebajikan rakyat di Melaka.

“Itu perkara utama. Biar pengundi tentukan siapa yang mempunyai kekuatan untuk membentuk kerajaan pada hari pengundian,” katanya.

UMNO sebelum ini menyuarakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu parti komponen utama dalam PN pada PRU15.

Keputusan berkenaan dibuat Majlis Kerja Tertinggi dan akar umbi parti itu dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 Mac lalu.

Keputusan BN bertanding secara solo pada PRN Melaka mengesahkan pendiriannya dalam perkara itu.

Minggu lalu, BN dan PN mengumumkan mereka akan bertanding di semua 28 kerusi pada PRN Melaka di bawah lambang masing-masing, walaupun pemimpin dua gabungan itu bekerjasama di peringkat Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button