Berita Utama

Ugut KPM, Jawatankuasa SJKC Too Joon Hing bersikap ekstrem

'Kita yakin ada yang tersirat sehingga mereka bersungguh mahu teruskan pembinaan'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Ugutan Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing mahu mengambil tindakan radikal terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) jelas memperlihatkan betapa agresif dan ekstremnya kumpulan tersebut.

Tindakan itu juga mempamerkan sikap besar kepala mereka yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada negara, kerajaan termasuk seorang timbalan menteri.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berpendapat, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana masih terdapat banyak cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Kerajaan yang ada hari ini bukanlah kerajaan yang tidak bertimbang rasa, pasti ada sebab keputusan itu dibuat, lagi pun pembinaan SJKC bukan lagi keperluan memandangkan sudah banyak SJKC dibangunkan di negara kita.

“Tindakan mereka itu jelas melambangkan sikap ekstrem mereka yang boleh memberi natijah kepada sistem pendidikan negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, memberi amaran atau ugutan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya memburukkan lagi keadaan.

“Kita yakin pasti ada yang tersirat sehingga mereka bersungguh-sungguh mahu meneruskan pembinaan sekolah berkenaan walaupun pihak KPM memberi arahan penghentian pembinaan berkenaan,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan, kawasan tersebut difahamkan merupakan tapak pembinaan sekolah kebangsaan (SK) dan bukannya SJKC seperti yang diperjuangkan mereka.

“Keadaan ini sekiranya tidak bertegas akan membuatkan mereka semakin berani, seharusnya wujud perasaan hormat terhadap pentadbiran negara dan bukan bertindak mengikut perasaan demi kepetingan mereka sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk tidak tunduk dengan ugutan dari jawatankuasa berkenaan sebaliknya bertegas dengan pendirian sedia ada.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing, Ong Yew Thai menggesa KPM agar tidak bersikap dingin dalam menangani isu pembinaan sekolah tersebut.

Gesaan itu dibuat selepas KPM tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat yang ditulis pihak Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing.

Yew Thai turut memberikan tempoh tiga hari kepada KPM untuk menyatakan sebab munasabah mengapa pembinaan dihentikan.

“Jika tidak, jawatankuasa pembinaan akan mengadakan perbincangan dan menggunakan pendekatan yang lebih radikal untuk meneruskan pembinaan sekolah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button