Berita Utama

Langgar SOP: Penganjur lawatan Ismail Sabri, Najib dikompaun RM20,000

Tiada penjarakan fizikal, kompaun diserah pada PDM DUN Asahan

ALOR GAJAH, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kompaun sebanyak RM20,000 dikeluarkan terhadap penganjur lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak di Selandar, hari ini.

Kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pegawai kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Jasin mengesahkan, kompaun telah diberikan kepada Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

“Ia (kompaun) dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP, iaitu tiada penjarakan fizikal,” kata pegawai kesihatan yang enggan namanya disiarkan.

Terdahulu, Najib dilaporkan tiba di medan selera sekitar jam 11.20 pagi, disusuli ketibaan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, kira-kira jam 12 tengah hari.

Turut hadir, calon BN di DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan dan calon BN di DUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem.

Perdana Menteri hari ini mengadakan lawatan di beberapa lokasi sekitar Melaka bermula dengan sarapan di Kota Melaka, sebelum bergerak ke Sungai Udang, Masjid Tanah, Selandar dan Rim di Jasin, sebelum pulang ke Kuala Lumpur

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button